Thursday, August 20, 2009

Air tangan

Kami - saya dan Yati, bibik di rumah - bangun awal pagi ini.
Bertungkus lumus siapkan mee bandung
Untuk hidangan sarapan pagi secara pot-luck di pejabat.

Di pejabat, ada pegawai yang bertanya
"Mee ni puan yang buat ke?"

"Kenapa, tak percaya?"

"Manalah tau, puan kan ada bibik..."

Ada masa-masa memang bibik boleh diharapkan membantu tugas memasak.
Tetapi bibik saya belum dilatih memasak mee bandung (atau mee jawa sekalipun walaupun dia asalnya dari Jawa)
Sesekali memang seronok berkongsi makan-makan di pejabat.
Rasa seronok dan puas bila hidangan yang disaji habis licin dinikmati teman-teman sepejabat.

"Ya, memang ada bibik. Tapi ini kan jamuan sempena meraikan Ramadhan yang bakal tiba, jadi mestilah lebih istimewa. Sesekali saya masak sendiri, bagi yang lain rasa sikit air tangan saya ini."

"Sedap puan, boleh buka kedai ni..."

Sebenarnya mee bandung yang saya hasilkan pagi tadi kekurangan bahan (serai dan saya gantikan sup tomato dengan tomato puree. Saya memang tidak guna kacang atau keledek untuk memekatkan kuah mee bandung saya, sebaliknya guna sup tomato dan bancuhan tepung jagung). Namun, alhamdulillah mee bandung saya mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Saya mengaku yang saya sudah lama tidak masak mee bandung, jadi alhamdulillah masih menjadi juga sentuhan kali ini...

Malam tadi Pak Ustaz meragui bila saya katakan padanya saya mahu bangun awal pagi untuk masak mee bandung, "Eleh, bangun buat sarapan sehari-hari pun jarang sekali"
(Dush dush)

Tapi pagi ini dengan hati berbunga-bunga, saya lihat dia bawa bekal mee bandung ke tempat kerja dan beria-ia memuji kesedapan kuah mee yang kekurangan bahan itu.
Ah, mungkin ada benarnya kata orang tua-tua, isteri perlu pandai memikat hati suami melalui perutnya...

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin